PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 8 - Pemakaian bagi Negeri Sabah dan Sarawak




Perkara 95E. Negeri Sabah dan Sarawak terkeluar daripada rancangan negara bagi penggunaan tanah, kerajaan tempatan, pembangunan, dsb.

(1) Berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak, Perkara 91, 92, 94 dan 95A hendaklah berkuat kuasa tertakluk kepada Fasal-Fasal yang berikut.

(2) Tertakluk kepada Fasal (5) , Kerajaan Negeri tidaklah dikehendaki di bawah Perkara 91 dan di bawah Perkara 95A supaya mengikuti dasar yang dibentuk oleh Majlis Tanah Negara atau oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, mengikut mana-mana yang berkenaan, tetapi wakil Negeri tidaklah berhak mengundi atas soal di hadapan Majlis itu.

(3) Di bawah Perkara 92 tiada kawasan di dalam Negeri itu boleh diisytiharkan sebagai suatu kawasan pembangunan bagi maksud apa-apa rancangan pembangunan tanpa persetujuan Yang di-Pertua Negeri.

(4) Di bawah Fasal (1) Perkara 94 (yang di bawahnya Persekutuan boleh menjalankan penyelidikan, memberikan nasihat dan bantuan teknikal, dsb., berkenaan dengan perkara-perkara dalam Senarai Negeri) pegawai-pegawai pertanian dan pegawai-pegawai perhutanan Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah menimbangkan, tetapi tidaklah dikehendaki menerima, nasihat profesional yang diberikan kepada Kerajaan NEgeri itu.

(5) Fasal (2) hendaklah terhenti terpakai bagi sesuatu Negeri--

(a) berkenaan dengan Perkara 91, 92, 94 dan 95A hendaklah berkuat kuasa tertakluk kepada Fasal-Fasal yang berikut.

(b) berkenaan dengan perkara 95A, jika Parlimen memperuntukkan sedemikian dengan persetujuan Dewan Undangan,

tetapi bagi setiap wakil Negeri Sabah atau Sarawak yang menjadi berhak, menurut kuasa Fasal ini, untuk mengundi atas soal di hadapan Majlis Tanah Negara atau Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, maka seorang wakil hendaklah ditambahkan kepada bilangan maksimum wakil Kerajaan Persekutuan dalam Majlis itu.

____________________________________________
CATATAN

Per. 95E:

Ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 43, berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perkataan "dan berhubung dengan Singapura" yang terdapat selepas "sesuatu Negeri Borneo" dalam Fasal (1) dan perkataan "atau bagi Singapura" yang terdapat selepas "Negeri Borneo" dalam Fasal (5) dipotong oleh Akta 59/1966, seksyen 2, berkuat kuasa dari 9-8-1965.

Fasal (1): Perkataan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (3): Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (4): Perkataan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

Fasal (5):

1. Lihat Per. 91(1), 95A(1).

2. Perkataan "Gabenor" digantikan dengan "Yang di-Pertua Negeri" dan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas