PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN KEWANGAN
Bab 1 - Am




Perkara 98. Perbelanjaan yang dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

(1) Maka hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan sebagai tambahan kepada apa-apa pemberian, saraan atau wang lain yang dipertanggungkan sedemikian melalui mana-mana Perkara lain atau undang-undang persekutuan--

(a) segala pencen, pampasan kerana kehilangan jawatan dan ganjaran yang Persekutuan bertanggungan membayarnya;

(b) segala caj hutang yang Persekutuan bertanggungan membayarnya; dan

(c) apa-apa wang yang dikehendaki untuk menunaikan apa-apa penghakiman, keputusan atau award terhadap Persekutuan oleh mana-mana mahkamah atau tribunal.

(2) Apabila membayar apa-apa pemberian kepada sesuatu Negeri mengikut peruntukan Bahagian ini, Persekutuan boleh memotong amaun apa-apa caj hutang yang kena dibayar oleh Negeri itu kepada Persekutuan dan yang dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan bagi Negeri itu.

(3) Bagi maksud Perkara ini caj hutang termasuklah bunga, caj kumpulan wang penjelas hutang, pembayaran balik atau pelunasan hutang, dan segala perbelanjaan berkaitan dengan pemerdapatan pinjaman atas jaminan Kumpulan Wang Disatukan dan pembayaran bunga atas hutang dan penebusan hutang yang diwujudkan dengan jalan sedemikian.

 

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas