|ENGLISH

 

[ ]

 

FAEDAH TERBITAN

SOAL JAWAB

STRATEGI LAUTAN BIRU KEBANGSAAN (NBOS) 6 : INTEGRASI RAKAN DAGANG KAD DISKAUN

SOALAN


1. Boleh jelaskan serba sedikit apakah sebenarnya STRATEGI LAUTAN BIRU KEBANGSAAN (NBOS) 6 : INTEGRASI RAKAN DAGANG KAD DISKAUN ini?

Jawapan:

Program Integrasi Rakan Dagang Kad Diskaun ini adalah inisiatif bersama di antara agensi-agensi Kerajaan yang mengeluarkan kad-kad berakaitan kepada kumpulan sasar yang tertentu. Inisiatif ini bermula apabila KPDNKK memperkenalkan program sukarelawan Skuad Pengguna pada bulan Mac 2012. Setiap ahli Skuad Pengguna akan diberikan kad keahlian yang juga merupakan kad diskaun yang diberikan oleh Rakan Dagang yang menyertai program ini.

Kemudian, pada bulan Julai 2012, KPDNKK turut memperkenalkan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia atau lebih dikenali sebagai KADS1M untuk pelajar-pelajar IPT di Malaysia dengan tujuan untuk mengurangkan kos sara hidup pelajar.

Selepas itu pada 7 Ogos, Kementerian Kewangan pula telah melancarkan 1Malaysia Privilege Card (1MPC), yang juga merupakan kad diskaun yang diberikan kepada anggota polis dan tentera.

Kerajaan Malaysia sentiasa peka dengan situasi semasa rakyat dan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan perbelanjaan dan kos sara hidup terutama bagi golongan yang memerlukan seperti masyarakat OKU, penjawat awam, pesara dan juga golongan siswa dengan memperkenalkan kad-kad diskaun dengan pemberian diskaun oleh syarikat-syarikat yang prihatin, melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

Memandangkan peranan kesemua jenis kad ini adalah sama iaitu ingin membantu pengguna memenuhi tuntutan kehidupan semasa, maka Kerajaan melaksanakan inisiatif Strategi Lautan Biru iaitu menjalinkan kerjasama dengan perkongsian pintar Rakan Dagang antara kad-kad yang telah diwujudkan. Perkongsian pintar ini Berjaya memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna dengan ‘zero cost’ di pihak Kerajaan.


2. Apakah kad-kad yang terlibat di dalam inisatif NBOS ini dan siapakah yang layak memegang kad-kad ini?

Sehingga kini terdapat 6 kad yang terlibat di bawah inisatif NBOS 6: Intergrasi Rakan Dagang Kad Diskaun, iaitu:

i. Kad Skuad Pengguna: Ahli-ahli sukarelawan Skuad Pengguna layak mendapat kad keahlian ini. Sehingga kini terdapat lebih 100,000 ribu orang ahli Skuad Pengguna yang telah berdaftar. Dimana pendaftaran ahli Skuad Pengguna dibuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

ii. Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M): Diberikan kepada siswa IPT yang belajar sepenuh masa di semua peringkat bermula sijil sehingga post-grade. Kad ini telah pun diedarkan kepada 1.5 juta pelajar IPT.

iii. 1Malaysia Privilege Card – Diberikan kepada 242,000 ribu anggota polis dan tentera yang masih berkhidmat.

iv. Kad OKU – Dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan diberikan kepada golongan OKU yang berdaftar dengan JKM. Bilangan OKU yang berdaftar sehingga kini adalah seramai 426,838 orang.

v. Kad Bekas Tentera – Kad ini dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran, Kementerian Pertahanan dan diberikan kepada anggota tentera yang bersara secara terhormat. Sebelum ini, Kad Bekas Tentera cuma memberi manfaat perubatan, tetapi kini ia juga berfungsi sebagai kad diskaun yang boleh dinikmati oleh lebih daripada 300,000 ribu bekas pesara tentera di seluruh Malaysia.

vi. Kad Pesara Kerajaan – Kad ini dikeluarkan oleh Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan diberikan kepada penjawat awam yang telah bersara. Sehingga kini terdapat seramai 662,000 orang persara perkhidmatan awam yang akan menikmati diskaun di bawah inisiatif ini.

3. Siapakah Rakan Dagang yang telah memberi persetujuan menyertai inisitif ini dan berapakah anggaran diskaun yang telah dipersetujui?

Rakan Dagang adalah merupakan syarikat-syarikat swasta yang telah bersetuju untuk menyertai program ini, dengan memberikan potongan harga dan diskaun ke atas barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pemegang-pemegang kad diskaun serta kad pengenalan diri bagi golongan istimewa seperti Orang Kurang Upaya dan Pesara.

Sehingga kini, sebanyak 2,170 syarikat telah bersetuju untuk menjadi Rakan Dagang kepada program Integrasi Rakan Dagang Kad Diskaun ini. Manakala kadar diskaun yang telah dipersetujui pula adalah antara 5% hingga 60% mengikut terma dan syarat yang diberikan oleh Rakan Dagang yang menyertai inisitif ini. Penyertaan Rakan Dagang ini telah dikategorikan kepada 13 segment seperti berikut:

a. Buku / Alat tulis
b. Pakaian / Kelengkapan Sukan
c. Klinik Kesihatan
d. Optometri / Cermin Mata
e. Penginapan / Pengangkutan
f. Makanan / Minuman
g. Pusat Rawatan / Kecantikan
h. Produk IT
i. Automotif
j. Peruncitan
k. Sukan dan Rekreasi
l. Pembelajaran / Pencetakan / Cenderamata
m. Lain-lain

Antara Rakan Dagang yang telah menyertai program ini ialah syarikat penerbangan FireFlyz, kedai buku MPH, pusat rekreasi Lost World of Tambun, rangkaian klinik kesihatan Qualitas, persatuan Kedai Gunting Rambut dan Malaysia Budjet Hotel Association (MBHA).

4. Bilakah kad-kad ini dapat digunakan sebagai kad diskaun?

Pelancaran Integrasi Rakan Dagang Kad Diskaun akan dilaksanakan oleh YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada 21 Mac 2013 dan saya menjangkakan kad ini dapat di terima secara meluas menjelang bulan April 2013.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan penyertaan Rakan Dagang dan diskaun yang diberikan, pemegang-pemegang kad boleh membuat semakan di portal www.1pengguna.com/SkuadPengguna

5. Apakah hasrat dan harapan Kerajaan khususnya KPDNKK berhubung inisiatif kad diskaun ini?

Kerajaan berharap agar masyarakat Malaysia khususnya golongan yang memerlukan dapat memanfaatkan kegunaan kad ini bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan terhadap barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh para peniaga yang mengambil bahagian. Kita juga amat berterima kasih kepada semua rakan dagang yang sudi bekerjasama dengan KPDNKK bagi menjayakan inisiatif ini.

Disediakan oleh:
Bahagian Gerakan Kepenggunaan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. Koperasi dan Kepenggunaan
16 Mac 2013