|
PEMAKANAN WARGA TUA
Warga tua mempunyai keperluan pemakanan khusus
disebabkan oleh perubahan dalam badan dan cara hidup. Pengambilan
makanan anda dipengaruhi oleh perubahan-perubahan yang berlaku pada
usia tua seperti:
-
Kekurangan deria rasa dan bau
-
Kehilangan gigi
-
Kurang kepadatan tulang dan kurang ketahanan untuk
melakukan aktiviti fizikal
-
Kurang keupayaan menghadam dan menyerap makanan
-
Kurang kekuatan jantung dan paru-paru
-
Kurang kandungan air dalam badan.
Pakar Runding Geriatrik di salah sebuah hospital swasta
di ibu negara, Dr. Rajbans Singh memberitahu, satu kajian yang
dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 2003 mendapati:
“Daripada kalangan 300 pesakit tua yang ditemu bual,
sebanyak 40 peratus daripada mereka mengalami masalah kekurangan zat
makanan manakala 30 peratus lagi berisiko tergolong dalam kategori
yang sama.”
Menurutnya, kekurangan zat makanan boleh memburukkan
lagi penyakit-penyakit kronik yang mempunyai kaitan rapat dengan warga
tua lebih 60 tahun seperti osteoporosis, hipertens/tekanan darah
tinggi, diabetes melitus dan penyakit jantung.
Justeru, katanya, mengamalkan pemakanan yang baik mampu
mengurangkan kemungkinan untuk mendapat penyakit-penyakit berkenaan.
Dr. Rajbans berkata, warga tua perlu mengambil pelbagai
jenis makanan kerana katanya, tiada satu makanan yang boleh
membekalkan kesemua zat atau nutrien yang diperlukan oleh badan.
Makanan berkanji seperti nasi, roti, mi dan ubi
membekalkan tenaga kepada tubuh. Jadi, ia perlu diambil dengan banyak
sebagai sumber tenaga.
Sementara itu, sayur-sayuran dan buah-buahan
membekalkan vitamin, mineral dan serat. Pengambilannya yang banyak
boleh mencegah penyakit dan mengelakkan sembelit serta buasir.
Makanan berprotein seperti ikan, ayam, daging, telur
dan kekacang perlu untuk mengekalkan dan memperbaiki tisu tubuh yang
rosak. Makanlah secara sederhana.
Air pula hendaklah diminum di antara enam hingga lapan
gelas sehari untuk membuang sisa-sisa dan racun dari tubuh. Sup dan
jus buah-buahan juga digalakkan.
Pada usia tua, tulang seseorang cenderung menjadi reput.
Bagi mengelakkan masalah ini, ambillah makanan yang kaya dengan
kalsium seperti susu rendah lemak, ikan sardin, bilis, tauhu, tempe
dan sayur-sayuran berdaun hijau.
Kurangkan makanan yang tidak baik untuk kesihatan
seperti yang bersantan, bergoreng, kuih-muih, kek dan minuman manis.
Pengambilan berlebihan boleh menyebabkan penambahan berat badan
seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung dan diabetes.
Sebaliknya, banyakkan makanan yang dikukus, direbus dan
dipanggang. Makanan masin seperti ikan masin, telur asin, kicap, sos,
dan bahan perasa boleh meningkatkan risiko penyakit darah tinggi.
“Dapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan sebelum
mengambil pil vitamin dan mineral tambahan. Kesihatan mulut perlu
dijaga kerana mulut yang tidak sihat boleh menjejaskan pengambilan
makanan oleh warga tua” kata Dr. Rajbans.
Penilaian Pemakanan
Penilaian Pemakanan Mini (MNA) merupakan pendekatan
antarabangsa bagi memantau tahap kesihatan pemakanan di kalangan
orang-orang tua.
“Doktor antara lain akan bertanyakan sama ada mereka
mengalami apa-apa perubahan dari segi berat badan dan tabiat pemakanan.
Begitu juga dengan keupayaan bergerak dan kesihatan mental. Sekiranya
mereka didapati berisiko mengalami kekurangan zat makanan, mereka
perlu menjawab satu set soalan lain untuk menentukan Skor Petunjuk
Kekurangan Zat Makanan,” katanya.
Dr. Rajbans berkata, penilaian pemakanan perlu menjadi
sebahagian pemeriksaan kesihatan tahunan bersama lain-lain komponen
termasuk, pemeriksaan fizikal, profil darah asas dan lain-lain.
Contoh sajian sehari untuk warga tua
-
Sarapan : secawan bubur nasi, sesudu makan
bilis tumbuk dan setengah cawan minuman bersusu
-
Minum pagi :sekeping roti mil penuh, sesudu
teh jem, sebiji pisang, secawan minuman bersusu
-
Makan tengah hari:secawan nasi, seketul ayam
masak kari, setengah cawan sayur bayam, sebiji limau nipis, air
kosong
-
Minum petang : sepotong kuih, sebiji pisang,
secawan teh O
-
Makan malam : secawan nasi, sekeping ikan
tenggiri masak asam pedas, secawan sup sawi campur tauhu, sepotong
betik, air kosong
-
Minum malam : tiga keping biskut krim kraker,
secawan minuman bersusu.
Sumber: Utusan Malaysia 11 November 2005
|