LANGKAH LANGKAH PENGAMBILAN
UBAT YANG SELAMAT
Oleh Dr Mohd Izham Mohd Ibrahim
- Pusat Racun Negara,USM
Selain daripada kebaikan,
ubat-ubat yang dihasilkan di kilang-kilang farmaseutikal juga boleh
mendatangkan kesan sampingan kepada pengguna. Walaupun para saintis
telah cuba memaksimakan kesan baik dan meminimakan kesan buruk ubat
dengan mengubah struktur kimia ubat, namun mereka masih belum berjaya
menghasilkan suatu ubat yang benar-benar bebas dari kesan sampingan.
Adalah dianggarkan bahawa sebanyak 10% insiden kesan sampingan ubat
akan berlaku daripada pengambilan sesuatu ubat. Oleh itu peraturan
seperti "Ubat yang betul untuk pesakit yang betul dalam dos yang betul
melalui saluran yang betul pada masa yang betul" telah diambilkira
oleh doktor semasa membuat keputusan untuk mempreskripsikan ubat
kepada seseorang pesakit.
Garispanduan penggunaan ubat
yang selamat dan berkesan
Garispanduan ini menerangkan
perkara-perkara yang harus dititikberatkan semasa mengambil ubat,
samada ubat-ubat preskripsi ataupun tanpa preskripsi. Apabila
mengambil ubat, pengamal-pengamal perubatan bersetuju bahawa adalah
penting untuk memberi perhati an kepada keperluan kesihatan seseorang
pesakit. Oleh itu, maklumat yang berkaitan dengan ubat-ubatan boleh
didapati daripada doktor, ahli farmasi atau pada label ubat. Di bawah
ini adalah perkara-perkara yang harus dilakukan semasa mengambil ubat.
Anda Harus:
-
Tahu nama ubat (jenama dan
generik) yang sedang diambil.
-
Membaca label botol atau sampul
ubat sebelum memakan sesuatu ubat.
-
Mematuhi arahan doktor atau ahli
farmasi mengenai jumlah ubat yang harus dimakan, waktu makan ubat
dan tempoh untuk menghabiskan ubat tersebut. Sebarang perubahan
haruslah mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi.
-
Goncang ubat-ubat dalam bentuk
larutan (suspensi) untuk memastikan bahan-bahan dalam ubat tersebut
dapat diseratakan.
-
Menggunakan alat sukatan yang
tepat dan standard semasa menyukat ubat cecair. "Sudu teh" yang
terdapat di rumah mempunyai saiz yang berbeza-beza.
-
Ikut arahan doktor dari segi
pemakanan harian semasa memakan ubat kerana terdapat interaksi di
antara sesetengah ubat dengan makanan. Interaksi ini boleh
menjejaskan keberkesanan ubat.
-
Memberitahu doktor anda tentang
ubat yang telah dipreskripsikan oleh doktor lain dan ubat yang
dibeli di kedai farmasi.
-
Memberitahu doktor atau ahli
farmasi bahawa anda sedang hamil supaya mereka boleh menyarankan
ubat yang selamat untuk anda dan bayi anda.
-
Catitkan nama semua ubat-ubat
yang diambil (termasuk vaksin) semasa hamil serta tarikh pengambilan
dan tujuannya.
-
Catitkan nama semua ubat-ubat
yang memberi kesan sampingan dan alahan (alergik) kepada anda atau
ahli keluarga anda, terutama wargatua dan kanak-kanak.
-
Memberitahu doktor dan ahli
farmasi mengenai nama ubat-ubat yang memberi kesan sampingan dan
alahan (alergik) kepada anda dan ahli keluarga anda.
-
Memberitahu doktor anda atau
ahli farmasi bahawa anda sedang mengalami kesan sampingan ubat yang
sedang diambil.
-
Pastikan samada ubat yang sedang
diambil selamat untuk memandu kenderaan atau menggunakan peralatan
berjentera.
-
Pastikan samada makanan atau
ubat tertentu harus dielakkan semasa mengambil ubat yang
dipreskripsikan oleh doktor.
-
Menepati temujanji dengan doktor
supaya keberkesanan ubat yang anda ambil dapat dilihat.
-
Mendapatkan maklumat dan
penjelasan dari doktor dan ahli farmasi mengenai sebarang masalah
dan kemusykilan tentang ubat tersebut. Minta maklumat bertulis jika
ini dirasakan berguna kelak.
-
Buang semua ubat preskripsi
selepas tarikh luput. Ini akan menghindarkan penggunaan ubat yang
mudah rosak selepas tarikh luputnya.
-
Simpan ubat-ubat pada tempat
yang sepatutnya atau dalam bekas yang sesuai.
-
Simpan ubat-ubat pada tempat
yang selamat supaya tidak dapat diambil oleh kanak-kanak. Ini dapat
menghindar dari masalah keracunan.
Sumber: Buletin “Penawar Racun”
Bil. 5 November 1995 (Buletin Umum Pusat Racun Negara, USM) |