PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 4 - Badan Perundangan Persekutuan




Perkara 56. Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara.

(1) Dewan Negara hendaklah dari semasa ke semasa memilih seorang daripada ahlinya untuk menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara dan seorang untuk menjadi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, dan tidak boleh, tertakluk kepada Fasal (3), menjalankan apa-apa urusan semasa jawatan Yang di-Pertua kosong selain pemilihan Yang di-Pertua.

(2) Seseorang ahli yang memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua terhenti memegang jawatannya apabila habis tempoh yang baginya dia dipilih atau dilantik menjadi ahli atau apabila selainnya dia terhenti menjadi ahli Dewan Negara, atau apabila telah hilang kelayakannya di bawah Fasal (5), dan boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa.

(3) Dalam masa apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertua atau dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam mana-mana persidangan, Timbalan Yang di-Pertua atau, jika Timbalan Yang di-Pertua juga tidak hadir atau jika jawatannya juga kosong, seorang ahli lain yang ditentukan oleh kaedah-kaedah tatacara Dewan Negara, hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua.

(4) Jika ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri dipilih menjadi Yang di-Pertua, maka dia hendaklah berhenti menjadi ahli Dewan Undangan Negeri itu sebelum menjalankan fungsi jawatannya.

(5) Seseorang ahli yang dipilih menjadi Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan dari pemilihannya untuk memegang jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersil, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya:

Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan ahli itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

(6) Jika berbangkit apa-apa soal mengenai kehilangan kelayakan Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua di bawah Fasal (5), maka Dewan Negara hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad.


_____________________________________
CATATAN

Per. 56(1):

Perkataan ", tertakluk kepada Fasal (3)," dimasukkan selepas "tidaklah boleh" oleh Akta A514, seksyen 5, berkuat kuasa dari 15-5-1981.



Per. 56(4):

Ditambahkan oleh Akta 10/1960, seksyen 8, berkuat kuasa dari 31-5-1960.



Per. 56(5) & (6):

1. Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 5, berkuat kuasa dari 15-5-1981.

2. Perkataan "atau Timbalan Yang di-Pertua" dipotong oleh Akta A566, seksyen 8, berkuat kuasa dari 16-12-1983 tetapi dimasukkan semula oleh Akta A1130, seksyen 5, berkuat kuasa dari 28-9-2001.



Catatan:

Pindaan yang dibuat dalam Fasal (5) dan (6) Perkara 56 oleh Akta A566 terpakai hanya bagi seseorang yang dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertua pada atau selepas 16-12-1983.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas