PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN X - PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN AWAM




Perkara 138. Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

(1) Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang bidang kuasanya hendaklah meliputi semua anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan.

(2) Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan hendaklah terdiri daripada-

(a)

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, yang hendaklah menjadi Pengerusi;

(b)

Peguam Negara atau, jika Peguam Negara ialah seorang ahli Parlimen atau dilantik tidak daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Peguam Cara Negara; dan

(c)

seorang anggota lain atau lebih yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, daripada kalangan orang yang menjadi atau pernah menjadi, atau yang layak menjadi, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi atau yang pernah menjadi hakim Mahkamah Besar sebelum Hari Malaysia.



(3) Orang yang menjadi setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah juga menjadi setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.


_________________________________________
CATATAN

Per. 138:

1. Perkara ini dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 52, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Fasal (2): Perkataan "Tertakluk kepada Perkara 146A" di permulaan Fasal dipotong oleh Akta A354, seksyen 31, berkuat kuasa dari 27-8-1976. Dalam perenggan (b), perkataan "atau, jika Peguam Negara ialah seorang ahli Parlimen atau dilantik bukan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Peguam Cara Negara" dimasukkan selepas "Peguam Negara" dan dalam perenggan (c), perkataan "atau yang layak menjadi," dimasukkan selepas "orang yang menjadi atau pernah menjadi" oleh Akta A354, seksyen 31, berkuat kuasa dari 27-8-1976. Perkara yang dahulu yang dimansuhkan oleh Akta 10/1960, seksyen 20, berkuat kuasa dari 31-5-1960, berbunyi seperti yang berikut:

"138. (1) Maka hendaklah ada suatu Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

(2) Tanpa menjejaskan fungsi-fungsi yang boleh dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan di bawah mana-mana Perkara lain, bidang kuasa Suruhanjaya hendaklah meliputi semua anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan selain Hakim Besar dan hakim-hakim lain Mahkamah Besar dan Peguam Negara.

(3) Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan hendaklah terdiri daripada-

(a)

Hakim Besar, yang hendaklah menjadi Pengerusi;

(b)

Peguam Negara;

(c)

hakim puisne yang kanan;

(d)

timbalan pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam; dan

(e)

seorang atau beberapa orang anggota lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Hakim Besar, daripada kalangan hakim atau bekas hakim Mahkamah Besar.".

 

2. Lihat Per. 148(1).



Per. 138(2)(c):

1. Subseksyen 18(2) Akta A566, berkuat kuasa dari 1-1-1985, memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

2. Lihat juga Catatan mengenai Perkara ini pada halaman sebelumnya

3. Perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung" dan "Mahkamah Agung" masing-masing digantikan dengan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan" dan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan" oleh Akta A885, seksyen 30, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas