PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN IV - PERSEKUTUAN
Bab 3 - Badan Eksekutif




Perkara 43. Jemaah Menteri.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam penjalanan fungsinya.

(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:

(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan

(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen,

tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

(3) Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.

(4) Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(5) Tertakluk kepada Fasal (4), Menteri-Menteri selain Perdana Menteri hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, melainkan jika pelantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, tetapi mana-mana Menteri boleh meletakkan jawatannya.

(6) Sebelum seseorang Menteri menjalankan fungsi jawatannya dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Yang di-Pertuan Agong sumpah jawatan dan sumpah setia dan juga sumpah simpan rahsia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam.

(7) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perkara ini, seseorang yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian atau melalui pendaftaran di bawah Perkara 17 tidak boleh dilantik menjadi Perdana Menteri.

(8) (Dimansuhkan).

(9) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan anggota-anggota Jemaah Menteri.


_____________________________________
CATATAN

Per.43

Lihat Per.57(1A).

Fasal (5):

1.

Perkataan "melainkan jika pelantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri," dimasukkan oleh Akta 10/1960, seksyen 5, berkuat kuasa dari 31-5-1960.

2.

Lihat Per. 43A(3).


Fasal (6) dan (8): Lihat Per. 43A(3).

Fasal (8) dimansuhkan oleh Akta A857, seksyen 2, berkuat kuasa dari 20-8-1993.

Fasal (9): Lihat Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas