PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 6 - Tinjauan Persekutuan, nasihat Persekutuan kepada Negeri dan pemeriksaan Persekutuan mengenai kegiatan Negeri
Perkara 93. Siasatan, tinjauan dan perangkaan.
(1) Kerajaan Persekutuan boleh menjalankan apa-apa siasatan (sama ada oleh Suruhanjaya atau selainnya), membenarkan apa-apa tinjauan dan mengumpulkan dan menyiarkan apa-apa perangkaan yang difikirkannya patut, walaupun siasatan, tinjauan dan pengumpulan dan penyiaran perangkaan sedemikian adalah berhubungan dengan sesuatu perkara yang berkenaan dengannya Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang.
(2) Menjadi kewajipan Kerajaan sesuatu Negeri, dan kewajipan semua pegawai dan pihak berkuasa Negeri itu, untuk membantu Kerajaan Persekutuan pada melaksanakan kuasanya di bawah Perkara ini; dan bagi maksud ini Kerajaan Persekutuan boleh memberikan apa-apa arahan yang difikirkannya perlu.
____________________________________________
CATATAN
Per. 93:
Lihat Per. 80(2), 94(3).