PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

BAHAGIAN VI - PERHUBUNGAN ANTARA PERSEKUTUAN DENGAN NEGERI-NEGERI
Bab 4 - Tanah




Perkara 87. Pemutusan pertikaian tentang nilai tanah.

(1) Jika berbangkit apa-apa pertikaian antara Kerajaan Persekutuan dengan sesuatu Kerajaan Negeri tentang apa-apa pembayaran yang dibuat oleh atau kepada Persekutuan di bawah Perkara-Perkara yang disebut terdahulu dalam Bab ini, atau tentang amaun apa-apa pembayaran itu, maka, sama ada atas permintaan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri itu, pertikaian itu hendaklah dirujukkan kepada Tribunal Tanah yang dilantik mengikut Perkara ini.

(2) Tribunal Tanah hendaklah terdiri daripada--

(a) seorang pengerusi yang hendaklah dilantik oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan dan yang adalah, atau pernah menjadi, atau layak menjadi, seorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, atau yang pernah menjadi seorang hakim Mahkamah Besar sebelum Hari Malaysia;

(b) seorang anggota yang hendaklah dilantik oleh Kerajaan Persekutuan; dan

(c) seorang anggota yang hendaklah dilantik oleh Kerajaan Negeri itu.

(3) Amalan dan tatacara Tribunal Tanah hendaklah dikawal selia oleh kaedah-kaedah mahkamah yang dirangka oleh Jawatankuasa Kaedah-Kaedah atau pihak berkuasa lain yang berkuasa di bawah undang-undang bertulis untuk membuat kaedah-kaedah atau aturan-aturan yang mengawal selia amalan dan tatacara Mahkamah Persekutuan.

(4) Sesuatu rayuan terhadap keputusan Tribunal Tanah mengenai apa-apa soal undang-undang boleh dibuat kepada Mahkamah Persekutuan.

____________________________________________
CACATAN

Per. 87:

Lihat Per. 88, 156.

Fasal (2)(a):

1. Perenggan ini dimasukkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963, dan menggantikan perenggan asal yang berbunyi seperti yang berikut:

"(a) seorang pengerusi, yang hendaklah seorang yang menjadi atau telah menjadi atau layak menjadi seorang hakim Mahkamah Agung dan yang hendaklah dilantik oleh Hakim Besar.".

2. Subseksyen 18(2) Akta A566 memperuntukkan bahawa sebutan mengenai Mahkamah Persekutuan Hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah Agung.

3. Perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung" digantikan dengan perkataan "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan"; dan perkataan "Mahkamah Agung atau Mahkamah Tinggi" digantikan dengan perkataan "Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi" oleh Akta A885, seksyen 10, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

Fasal (3): Perkataan "atau pihak berkuasa lain yang berkuasa di bawah undang-undang bertulis untuk membuat kaedah-kaedah atau aturan-aturan yang mengawal selia amalan dan tatacara Mahkamah Persekutuan" yang terdapat di hujungnya ditambahkan oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Fasal (4): Perkataan "Mahkamah Besar" digantikan dengan "Mahkamah Persekutuan" oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-9-1963.

Fasal (3) dan (4): Perkataan "Agung" digantikan oleh perkataan "Persekutuan" oleh Akta A885, seksyen 10, berkuat kuasa dari 24-6-1994.

                                                                                                                                                                                                            

     Sebelum          Isi Kandungan    

     Selepas